Saya Sedang Membaca

Batu Ketiga Dari Matahari oleh Sahidzan, Encik Psychopath, Lucifer, april, KHRLHSYM, Ophan Bunjos, nasyrun, Zoul Yazix| Hikayat Tiga Negara Jilid 3terjemahan oleh Yuen Boon Chan, Woo Tack Lok | Message to Adolf oleh Osamu Tezuka | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | To the Devil a Daughter oleh Dennis Wheatley | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Kronikel Bumi oleh Nurul Izwazi Mohd Nor | Cloud Atlas oleh David Mitchell |

Friday, January 30, 2009

Jualan Amal Palestin depan Masjid Muhammadi Kota Bharu


















HALUAN turut menjual buku-buku informatif
tentang penindasan di Palestin.



Kena serbu lepas solat Jumaat!



Pada 30hb Januari 2009, ada satu kebajikan yang berlaku di tengah Kota Bharu, anak-anak Kota Bharu, muda-muda (yang mengajak saya turut serta), telah membuat Jualan Amal Palestin di depan Masjid Muhammadi, pada sebelum dan selepas Solat Jumaat. Aktiviti ini terdiri daripada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) [www.haluan.org.my], Unite Against Discriminative Collective atau UADC [www.myspace.com/uadcollective] serta dari kawan saya, Dhani, Jera dan Ayien, Network of Solidarity Collective atau NOSC [www.myspace.com/noss2000]. Wang jualan/sumbangan pada hari itu akan diberikan kepada pihak HALUAN untuk disalurkan ke tabung dan salurang yang sepatutnya buat Palestin.


Apa yang menarik saya ialah, bagaimana budak-budak DIY ini, UADC dan NOSC, tanpa apa-apa kelengkapan birokrat telah mengorganisasikan sendiri kerja amal sukarelawan, yang terdiri juga daripada siswa-siswi universiti serta pelajar sekolah yang semuda 15 tahun! Tanpa apa-apa permintaan untuk "terkenal" atau "kaya", pertama kali saya melihat hasil kerja anak muda yang "jujur" dan sepenuh-penuhnya untuk "menolong yang tertindas atas nama kemanusiaan". Dan semangat yang mereka tunjukkan, saya terkedu.
Contohnya seperti beberapa yang pergi bertemu dan merayu muazin (tukang azan) untuk mengumumkan kedai jualan amal mereka pada hari itu tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana "terikat dengan undang-undang atau tatacara masjid". Mereka masih boleh tersenyum walaupun mereka tidak dapat mengumumkannya di masjid, mereka masih tersenyum bila ada orang yang tidak suka akan baju-baju yang mereka jual hari itu. Mereka masih tersenyum apabila ada sahaja yang tidak memandang murni (atau was-was) dengan kerja amal mereka.

Malah rupa-rupanya, Dhani, selaku ketua kumpulan jualan amal itu adalah antara bekas ahli aktif yang mengadakan Food Not Bombs, satu kerja sukarelawan membagi-bagikan makanan buat golongan pengemis dan tualang di hadapan sebuah gereja St. Mary di tengah Kuala Lumpur, yang mana saya pernah menulis sebuah sajak yang memburukkan diri saya yang tidak pernah mengaku (sebagai anak muda) boleh melakukan kerja sukarelawan yang jujur seperti Food Not Bombs tanpa ada apa-apa agenda politik. Malah aktiviti Food Not Bombs itu telah saya baca dalam majalah KLue, dan kini dikatakan antara NGO paling berjaya dan masih bergerak melakukan kerja amal.

Maka kerja dan jiwa Dhani dan kawan-kawannya itu, termasuk Koja, Faisal Jera, Ayien, serta rakan baru seperti Syahnan dari UADC telah melakukan kerja DIY, menjual baju-baju terpakai, beg, kalender, tabung buat tabung amal Palestin. Walaupun tempat jualan mereka tanpa payung dan atap, mereka tetap menggagahi menjual "dan bersukara-ria" mengedarkan risalah tentang Palestin dan kebobrokan Israel. Sememangnya saya amat menghormati semangat juang mereka.

Saturday, January 24, 2009

25.1.09 - Arena Wati meninggalkan kita



Baru buka entri blog Pn. Nisah Haron.

Saya rasa murung hari ini ...

Al-Fatihah ...

Friday, January 23, 2009

5 Penyair Kelantan Menapak di Stadium Kota Bharu









Patutlah Kelantan bumi bertuah. Semangat solidariti dan kesatuan terhadap sesaudara Islam tidak pernah dikesampingkan. Seperti yang diucapkan oleh wakil Siam di Kelantan pada Malam Perhimpunan Misi Cakna Palestin itu, "Jika dicuit pipi kiri, pipi kanan pun sakit juga." Pada 23 Januari 2009 itu juga, masyarakat Kelantan dan khalayak luar dapat mengenali 5 penyair Kelantan yang mendeklamasikan puisi khas buat pencabulan Palestin oleh Israel. Kesemuanya, Abham T.R., Abdul Hadi Yusof, Aminuddin Mamat (slot malam), Anuar Musa dan Fauzi Amir Gus telah melontarkan isi hati kebanyakan penduduk Islam terhadap keganasan tentera Israel terhadap anak-anak yang tak bersalah dan dianiayai. Rasa terpegun itu ada. Malah, pertama kali saya menonton bacaan puisinya di mana orang menggeleng kepala, menutup mata dan senyap, tiba-tiba menjerit takbir, menghayati setiap bait-bait penyairnya. Alhamdulillah. Suara sajak berkuasa menyampaikan maksud.

Malam itu juga, diadakan solat hajat untuk rakyat Palestin yang tertindas. Semoga Allah memakbulkan doa rakyat Kelantan kepada saudara semuslim mereka.

Friday, January 16, 2009

Dewan Budaya Mekar Meraya


Saya ingin mengucapkan tahniah kepada majalah Dewan Budaya (DB). Sudah lebih 30 tahun usianya.
- Sewaktu remaja, antara semua majalah DBP yang saya tunggu, hanya DBlah yang sentiasa saya beli tanpa gagal (yang sekarang ini menjadi milik Dewan Sastera). Waktu itu, DB sahaja yang banyak memaparkan artikel tentang filem. Malah saya tertunggu-tunggu akan ulasan filem oleh A. Wahab Hamzah (waktu itu, saya belum mengenal pengkritik tersohor Mansor Puteh) dalam DB. Tulisannya memang bernas dan memberi implikasi filem itu bukan sahaja alat untuk berhibur.
- DB Januari 2009 sudah terjual, dan kulitnya antara kulit majalah tercantik pernah saya lihat. Banyak artikel yang menarik di dalamnya (termasuk beberapa kolumnis yang mengangkat bakul sendiri, yang sememangnya bukan satu kesalahan). Ulasan kritis tentang filem Wayang, artikel generalisasi dan retorik (memujuk-mujuk) Mansor Puteh aakn Sinema Muslim (yang sebenarnya sebuah idea yang bernas) adalah di antaranya. Tetapi artikel yang terbaik edisi itu ialah tulisan Congkak oleh Malim Ghozali PK yang bersifat peribadi sekali gus mendalam, menyentuh dalam sisi kupas pemikiran intelektual/falsafah Melayu.
- Beberapa "Apa Kata Mereka" yang mencuit oleh budayawan tersohor. Saya terkekeh sendiri apabila Mansor Puteh meletakkan dirinya sebagai "pengulas filem" dan bukan "pengkritik filem". Tetapi yang terbaik datang daripada penyair tersohor, Pyanhabib:
"DB boleh dekati budak-budak underground dan indie yang rajin mengadakan pameran lukisan, teater atau filem, malah mereka juga rajin beramal jariah. Paparkan aktiviti mereka tanpa mengira bangsa. Fokus aktiviti mereka kerana itu lebih berguna daripada cakap-cakap orang politik."
Dengan kenyataan itu sahaja, saya merasakan :-
1- DB berani memaparkan satu iltizam segar.
2- yang saya harap menjadi satu kenyataan, barulah DB itu "budaya baharu"!

Sunday, January 11, 2009

Apa Kau Mahu Daripadaku

Pada suatu pagi, selepas sebuah masjid menjadi abu di Gaza, Seorang anak Palestin berkata pada jirannya, seorang anak Israel:

Kalau kau jadikan dapur aku bilik air,
di mana mak kami mahu memasak?

Kalau kau jadikan ruang tamu aku bilik tidurmu,
di mana kami hendak bermain?

Kalau kau jadikan bilik tidurku taman buah-buahanmu,
di mana kami nak lena?

Aku impikan kita berjalan seiring,
kau dan dinding sedumu dan aku tempat sujud di batu

Tapi kenapa kau kelar kakiku
Bila tiba azan menyeru
Dan kau lontar abu
Masjidku jadi kelabu.

Aku mencari kemanusiaan dalam dirimu
Tetapi kau hanya membalasnya dengan nafsu ...

Thursday, January 8, 2009

Titik

Aku mungkin berhenti menulis.
Atau aku patut berhenti kerja!
Peritnya tak tertahan -

Bayang:

Kalau kau ada masa, kau boleh tulis novel. Contoh: Arena Wati menghilang diri untuk tulis novel. Faisal Tehrani kerja menulis sepenuh masa, ada lima novel tahun lepas dikeluarkannya.

Kalau kau biasa-biasa sibuk, kau luangkan masa kau menulis cerpen, atau artikel-artikel panjang dan berguna. Itu semangat kau.

Kalau kau sibuk selalu kau luangkan untuk menulis, mungkin artikel-artikel pendek, mungkin cerpen sedikit pendek dan lesu, mungkin sajak.

Kalau kau terlalu sibuk, kau hanya boleh menulis sajak. Contoh, maafkan aku, tetapi banyak penulis yang mencari makan.

Aku contohnya.

Aku sedang menangis hiba, kerana apa yang aku nak cipta sebesar novel, tapi aku ditanggung derita memaksa aku melempias sebait sajak.

Aku dalam derita yang amat sangat ...

Mungkin, aku patut berhenti kerja.
Mungkin aku patut berhenti menulis terus.
Baru-baru ni, ada editor meminta aku menulis buatnya, hari ini aku menolak, kerana aku tidak dapat melakukannya. Aku direjam masa.

Aku sedang menangis darah.

Wednesday, January 7, 2009

Saga Horizon Termasuk ...

... dalam 4 buku Terbaik bacaan Tok Mudin bagi tahun 2008:

Fiksyen Bahasa Melayu:

Saga Horizon, Fadli al-Akiti. Kerana berjaya membuka mata aku bahawa ada anak Melayu yang boleh menulis buku sai-fai dengan baik. Sangat baik.

lihat: http://mudin001.com/2008/12/31/2008-dan-apa-yang-aku-baca/