Saya Sedang Membaca

Batu Ketiga Dari Matahari oleh Sahidzan, Encik Psychopath, Lucifer, april, KHRLHSYM, Ophan Bunjos, nasyrun, Zoul Yazix| Hikayat Tiga Negara Jilid 3terjemahan oleh Yuen Boon Chan, Woo Tack Lok | Message to Adolf oleh Osamu Tezuka | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | To the Devil a Daughter oleh Dennis Wheatley | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Kronikel Bumi oleh Nurul Izwazi Mohd Nor | Cloud Atlas oleh David Mitchell |

Monday, January 30, 2012

Perubahan Itu Perlu


Saya menyedari sesuatu.

Kadang-kadang, kita memerlukan perubahan.

Saya pernah menghantar bahan makalah saya kepada majalah DBP untuk disiarkan. Kadang-kadang, bahan saya akan dipotong, dan potongan itu menyakitkan saya, kerana kadang-kadang ada perkara yang hendak saya sampaikan, seperti sengaja "dihilangkan". Adakah ini kerana kesalahan fakta, melewah atau editor sengaja bosan untuk menyiarkan petikan bahan itu?

Antara faktor utama sebenar mengapa petikan-petakan tiba-tiba halimunan sewaktu disiarkan adalah kerana ketidakcukup ruang. Saya sedar, kebanyakan penulis memang ghairah menulis (seperti saya), lantas menghantar "sebanyak mungkin" kata-katanya untuk disuap oleh editor.. Ruang yang kecil diganggu dengan patak perkataan yang membuka. Lantas editor terpaksalah melakukan suntingan substantif kepada satu kaedah agak menyusahkan: mengenalpasti isi yang mana paling penting untuk disiarkan dan tolak yang mana tidak perlu.

Saya ada beberapa kawan yang bekerja di majalah-majalah swasta. Mereka lagi seksa. Jika tulisan mereka tidak mengikut ruang sedia ada, bahan mereka akan dikoyak oleh editor di depan mereka dan kadang-kadang dilempar di muka. Seorang penulis dalam majalah swasta (di Bhg Majalah DBP, tidak ada fungsi sebegitu, editorlah yang menjadi wartawan, penulis dan tukang sunting) perlu tahu sedari awal (rujuklah mana-mana filem Hollywood dan lihatlah bagaimana mereka bekerja) ruang dan format yang perlu dipatuhi.

Tetapi kita ramai penulis yang manja dan banyak akal bukan?

Ini satu permintaan sebenarnya, buat saya, menyenangkan semua pihak, saya, saudara penulis, dan pembaca yang akan membaca tulisan saudara. Justeru itu, saya menurunkan format penulisan DS untuk diikuti:

Fon Arial 12, langkau dua baris, dokumen MS Word (seboleh-bolehnya *.doc).

Cadangan Halaman Saiz A4 Dokumen MS Word
Cerpen: 12-20 halaman
Puisi: 3/4 – 1 halaman (jika boleh)
Drama: 15-20 halaman (jika boleh)


Fokus: 12-18 halaman
Kajian: 15-21 halaman
Bicara Karya: 15-21 halaman
Ulasan Buku: 1-2 halaman
Sastera Antarabangsa: 8-9 halaman
Sastera Tradisional: 8-9 halaman
Sorotan: 2-3 halaman
Reaksi: 4-9 halaman
Tabir Hayat: 4-9 halaman


Surat Pembaca: 1 halaman

Buat puisi dan drama, memang sengaja saya letak (jika boleh), kerana buat saya, kita tidak boleh menahan seorang penyair dan dramatis dalam meluahkan penulisannya yang terikat dengan ruang, yang saya kira memang piawai yang diikuti oleh mana-mana editor sastera di seluruh dunia. Arenas pernah menyatakan, bila dia menulis, ia bagaikan air yang melimpah-limpah turun dari langit yang mengalir terus menjadi sungai dan membentuk air terjun yang deras menurun. Bolehkah kita mengkotakkan semangat itu dalam satu ruang yang kecil? Sebab itu, saya memberikan sedikit "pengecualian". Tetapi buat bahan lain, DAN LEBIH-LEBIH LAGI bahan bukan kreatif seperti Fokus, mohonlah untuk membantu saya menyatakan apa yang kalian benar-benar perlu nyatakan, supaya bahan itu akan tersiar dengan sempurna.

Dunia ini penuh dengan syarat dan ketentuan, bukan menyusahkan, tetapi menyenangkan semua pihak. Jika tidak, takkan Rasulullah s.a.w. melakarkan Piagam Madinah, Nabi Musa a.s. memohon Allah 10 Perintah dan Nabi Daud a.s. mengadakan mahkamah.

Sila rujuk: http://dwnsastera.dbp.my/?page_id=75




Thursday, January 26, 2012

Reaksi Tak Sampai: Antara Aktivis dan Artis


Siapa kata semua bahan yang kita hantar kepada editor akan terus disiarkan? Siapa-siapa pun anda, dalam kasta kepengarangan mana pun (selain kolumnis) akan tetap dinilai dahulu sebelum ditilik untuk disiarkan.

Sewaktu saya sendiri di Buku Sekolah, saya ada menyampaikan reaksi saya kepada editor berkenaan sebuah makalah yang tersiar di dalam Dewan Budaya. Akhirnya, reaksi itu tidak tersiar pun. Ah, inilah keindahan blog. Di sini saya perturunkan apa yang saya catat:

Salam DB,

Saya ingin memberi reaksi terhadap tulisan Raja Yusof Ariffin di Dewan Budaya Julai 2011 yang melaporkan pandangan Dato' Haji Baharuddin Haji Omar berkenaan "kesongsangan" kerja pelakon teater-filem-teater yang sedang berlaku dengan meluas dalam industri seni tempatan. Apa yang diperkatakan oleh Baharuddin itu buat saya, adalah polemik lesu yang digembur-gemburkan (isu yang tiada isu) dan tidak lagi relevan, jika dilihat dari segi pertindihan kerja pelakon, khusus pada alaf ini.

Era globalisasi ini menampakkan lagi fungsi "pelakon" sebagai imej pelaku atau penggerak ruang/cerita yang bersifat kebendaliran, pelbagai media harus dikuasai dan di"pergunakan" untuk kepentingan seni (craft) serta material. Rata-rata di dunia Barat, hal ini sudah berlaku, seiring dengan gerakan anak muda di Malaysia yang beralih dari teater ke filem, filem ke teater, drama televisyen ke filem, dan sebagainya. Nama-nama seperti Zulhuzaimy Marzuki, Adlin Aman Ramli dan Zahiril Adzim sudah melakukan apa yang pernah dibuat oleh James Dean, Marlon Brando, dan Lawrence Olivier. Tokoh seperti Merryl Streep, sepertimana James Dean dan Marlon Brando yang "makan, minum" dari dunia teater juga membuktikan, sepertimana lazimnya Rahim Razali dan Eman Manan, baik dunia filem atau teater, yang punya disiplin lakonan, persembahan ruang dan stamina ketelitian yang berlainan, boleh dikuasai kedua-duanya, bukan kerana "populariti" seorang pelakon itu, tetapi keserasian dan kehandalannya menampilkan kemahiran "lakonan"nya pada ruang dan masa yang betul. Inilah yang kita tampak tampil dibuat oleh Daniel Radcliffe (teraju francais terkenal Harry Potter) yang berasal dari "filem" tetapi kini "berjaya" di teater, seperti drama sulungnya, Equus.

Sikap "membanding-banding" pelakon teater dan filem amat "remeh" dan hanya berlaku di Malaysia mungkin. Secara lazim, memang, bila Madonna yang "bukan lahir di dunia pentas" yang datang "merosakkan" muzikal Evita bolehlah dipersoalkan. Tetapi kehadiran dan kekuatan Awie, Remy Ishak, Tony Eusoff yang juga "berguru" dengan orang teater untuk teater (Tony Eusoff merupakan antara anak buah teater Inggeris, Remy Ishak merupakan anak didik aktivis seni Mislina Mustafa) sedikit sebanyak menggoncangkan kecaman Raja Yusoff terhadap ketrampilan mereka yang sudah terbukti "boleh berlakon di pentas", sepertimana mana-mana pelakon teater yang asal. Hal ini tidaklah mendombakan, tetapi dialu-alukan kerana membawa "penyatuan" terhadap dua media yang semakin mengecil dalam dunia global sekarang. Maka trend seperti ini usahlah diperkecilkan. Apa yang perlu Baharuddin soal adalah penyatuan yang lebih jitu dan perlu dirancang (dan dirancakkan) bagi membawa kebendaliran peranan para pelakon pentas tradisional seperti Mak Yung dan Menora kepada teater kotemporari dan sebaliknya. Hal inilah yang agak terbelakang di pentas tempatan sekarang.

MFA

Wednesday, January 25, 2012

Sedutan "There But For The"



Novel Ali Smith ini diperkatakan dalam Literary Review Julai 2011. Sebuah novel gaya sensasi tetapi memperuntukkan sifat manusianya yang mendalam, seorang pemuda yang meninggalkan temasya dan berkurung di dalam bilik air, tidak mahu keluar-keluar.

Petikan berkenaan laman Internet ini ditulis Smith:

Kata Ali Smith, Laman sesawang ... itu

"Suatu pembohongan yang memberi cara baru untuk merasa sunyi ... kubur-kubur penuh zombi dengan klu berlambak, indah, pathos, sakit, wajah-wajah anak anjing, perempuan dan lelaki dari serata dunia terikat dan dilancapkan, laman selepas laman, suatu lautan cetek akal berlindung. Terus-menerus ia menjadi desakan dilema manusia, bagaimana berlayar atas laluan lancar bobrok."
Ali Smith, "There But For The".

Sunday, January 22, 2012

Mesej Pendek

Mesej juga merupakan judul cerpen Roslan Jomel yang terbaharu dalam Dewan Sastera Januari 2012.

Maaf! Sejak saya diperintah sebagai editor DS (bermula Mac 2012, tetapi perancangan bermula Jun 2012), berduyun (purata 20 setiap hari) profail yang tidak dikenali ingin "menjadi kawan" di dalam Muka Buku. Maaf, Muka Buku saya amat peribadi dan dikhususkan buat saudara dan kawan-kawan terdekat yang saya kenal dan letak dekat pada hati. Kalian masih boleh sahaja meneliti Twitter (Cik Sik) fadlidwnsastera, blog ini dan hantar mesej, atau lepak di Muka Buku Dewan Sastera.

Maaf sekali lagi!

Saturday, January 21, 2012

Cik Sik ohh Cik Sik


Saya dah ada Twitter!

Saya panggil ciptaan abad ke-21 ini sebagai Cik Sik (Tukang Mengusik!), He he!

2 buku sedang cuba dihabiskan:

Seksualiti dalam Novel Melayu. Buku yang dibawa oleh Kak Nisah Haron pada suatu hari di pejabat. Saya tahu keberadaan buku ini pun daripada blog Pak Affandi Hassan. Seks mempunyai pelbagai lingkungan. Saya tahu benteng dan singkap intepretasi kita mesti bertunjang etika dan agama. Saya betul.

Rahsia Malam Merdeka. Novel ini sedang dibaca dan terus saya terpaut. Tulisan Mohd. Saat Omar, seorang rakan. Saya sebilik dengannya di Port Dickson sewaktu sebuah bengkel penulisan Bhg. Penerbitan sebuah organisasi. Di situ pun saya baru mengenali beliau. Bengkel selesai dan cadangan sinopsis novel saya ditolak (fiksyen sains untuk golongan kanak-kanak dan remaja katanya, sehinggalah saya campak novel Saga Horizon di atas meja editor itu pada suatu hari). Saat hanya diam saya rasa (lupa jika beliau sampaikan cadangannya). Novel ini baru pasca kerja Kelantan saya, saya berpeluang membacanya. Dan saya terpaut. Khusus saya membaca Bab 4, bab Hang Nadim (atau Nadim sahaja). Bab ini menonjolkan kuasa Saat yang sebenar, kenapa penulis muda ini perlu diberi perhatian (walaupun hanya memenangi hadiah penghargaan buat novel tersebut) dan mengapa novel ini perlu dibaca. Saya benar-benar jatuh hati setelah membaca Bab 4 tersebut.

Kini saya dalam proses menulis novel (oleh sebab itu saya selalu diam), tinggal lima bab lagi untuk dihabiskan. Alhamdulillah! Doakan saya dapat habiskan!

Wednesday, January 18, 2012

Tanggungjawab Berat, dan Indah Harapannya

Semalam saya dikejutkan dengan satu pengumuman daripada Ketua Editor. Semua tugasan majalah dirombak editor dan penolong editornya (mohon para penulis maklum dengan hal ini agar tahu siapa yang perlu dihubungi). Yang pertamanya sudah tentu dua editor yang dilepaskan dari Bahagian Buku Sekolah, saya dan Azleenda. Azleenda mendapat majalah Pelita Bahasa untuk ditangani. Saya diberikan majalah Dewan Sastera.

Secara literal, saya terduduk dalam duduk saya. Saya memerhati wajah Ketua Editor seperti tidak percaya. Saya bersyukur, tetapi turut merasa beratnya. Ini mimpi?

Saya teringat Keris Mas, Usman Awang, Pak Sutung, Kak Siti Zaleha, Kemala, Zaen Kasturi. Saya merasa begitu kerdil jika dibandingkan hasil karya sastera(?) saya dengan mereka. Tetapi saya faham, ini tugas. Saya memaklumkan hal ini dalam FB. Ramai taulan, baik dunia sastera kebangsaan, Barat dan bawah tanah memberi kata penghargaan. Lagi saya rasa berat. Tetapi mereka juga menyatakan, mereka menyokong dari belakang. Alhamdulillah.

Tanpa saya sedari, Pura Pujangga kita, Pak Mohd Affandi Hassan yang selalu saya ikuti buah tulisan blognya memasuki komen saya. Katanya, "bagi yang amanah, tidak apa-apa".

Saya menangis.

Buat mereka yang mahu menghantar karya, boleh sahaja terus mengirim (mengikut format yang sudah diikuti) ke e-mel DBP saya fadhli[@]dbp[.]gov[.]my dan fadlidewansastera[@]gmail[.]com (saya syorkan guna Gmail kerana emel DBP selalu penuh).

Syarat kiriman boleh dirujuk di sini.

Perjalanan sudah bermula. Reda. Tawakal. Doa.